Thursday, July 14, 2011

Imam Abu Jaafar al-Madani

IMAM Ibnu al-Jazari (meninggal dunia 833 hijrah) mengkaji dengan teliti perkembangan Qiraat pada zamannya dan mendapati Qiraat yang menjadi amalan harian ketika itu tujuh Qiraat iaitu Imam Nafei', Ibnu Kathir, Abu Amru, Ibnu 'Amir, Asim, Hamzah dan al-Kisai.
Dalam pengamatannya juga, ramai di kalangan umat Islam ketika itu berpandangan tujuh Qiraat tersebut sahajalah yang mutawatirah dan sah membacanya dalam sembahyang. Selain Tujuh Qiraat adalah tidak mutawatirah.
Kajian Ibnu al-Jazari terhadap Qiraat berdasar kepada tiga rukun iaitu sanad yang sahih, menepati mushaf Uthmani dan menepati bahasa Arab yang fasih. Rumusannya Tiga Qiraat iaitu Imam Abu Ja'far, Imam Ya'qub dan Imam Khalaf adalah sahih dan mutawatirah.
Imam Abu Ja'far adalah di kalangan Tabien. Beliau menerima pendidikan al-Quran daripada guru-guru di kalangan para sahabat ra. Guru-gurunya ialah; Abdullah Ibnu 'Ayyash Ibnu Abi Rabi'ah, Abdullah Ibnu Abbas, Abu Hurairah. Ada juga yang mengatakan beliau sempat membaca al-Quran kepada Zaid Ibnu Thabit ra. namun Imam al-Zahabi menafikan.
Di waktu kecilnya, Imam Abu Ja'far dibawa kepada Ummu Salamah iaitu Ummu al-Mukminin dan beliau menggosok kepalanya dengan mendoakan keberkatan. Abu Ja'far juga pernah bersolat di belakang Ibn Umar ra.
Ilmu al-Quran yang dikuasainya menjadikan beliau tumpuan umat Islam ketika itu untuk menimba ilmunya antara yang menjadi muridnya ialah Imam Nafei', Sulaiman Ibnu Muslim Ibn Jammaz, Isa Ibnu Wardan, Abu Amru, Abdul Rahman Ibnu Zaid Ibnu Aslam dan tiga anaknya iaitu Ismail, Ya'qub dan Maimunah.
Imam Malik menyatakan bahawa Abu Ja'far adalah lelaki yang soleh dan mengajar al-Quran kepada penduduk Madinah. Abu al-Zinad berkata, tidak ada seorang pun yang lebih alim tentang sunnah daripada Abu Ja'far.
Diriwayat daripada Ibnu Jammaz antara amalan Abu Ja'far ialah puasa bersilang hari sebagaimana puasa Nabi Daud as.
Imam Abu Ja'far meninggal dunia di Madinah pada tahun 130 hijrah.
Perawi pertama Imam Abu Ja'far ialah Isa Ibnu Wardan. Beliau mendalami ilmu al-Quran dengan beberapa guru antaranya ialah; Abu Ja'far, Syaibah dan juga Imam Nafei'. Beliau meninggal dunia pada tahun 160 hijrah.
Perawi kedua Imam Abu Ja'far ialah Sulaiman Ibnu Muslim Ibnu Jammaz. Beliau merupakan seorang Muqri, amat kuat ingatan dan terpuji. Antara gurunya ialah Abu Ja'far, Nafei', Ismail Ibnu Ja'far dan Qutaibah Ibnu Mihran.
Beliau mendalami Qiraat Abu Ja'far dan Qiraat Nafei. Menurut Ibnu al-Jazari, Ibnu Jammaz meninggal dunia sekitar tahun 170 hijrah.

Muslihat kalahkan musuh

BAGI memerangi Kabilah Bani Asad yang merancang menawan Kota Madinah, Rasulullah SAW berpesan kepada Abu Salamah selaku Ketua Tentera supaya seluruh anggota tentera Islam seramai 150 orang itu berjalan hanya pada waktu malam. Pada waktu siang mereka diminta bersembunyi di lereng-lereng gunung.
Jalan yang hendak dilalui pula mestilah laluan yang berbeza. Bukan jalan yang biasa dilalui orang. Ini agar kedatangan pasukan tentera Islam tidak diketahui oleh pihak musuh.
Pada awal bulan Muharam tahun ke-4 Hijrah, pasukan tentera Islam mula berangkat dari Madinah secara senyap-senyap dan terus menuju ke daerah Najd, perkampungan Bani Asad.
Dalam beberapa hari sahaja mereka sampai ke perkampungan itu tanpa diketahui para penduduknya. Lalu tanpa membuang masa, seluruh perkampungan itu terus dikepung oleh tentera Islam.
Pada asalnya, kabilah Bani Asad telah merancang membuat serangan mengejut ke atas Madinah. Bagaimanapun, mereka cukup terkejut apabila mendapati mereka pula akhirnya yang terkepung.
Setelah mendapat arahan daripada Abu Salamah, tentera Islam terus melakukan satu serangan ke atas penduduk Bani Asad yang menyebabkan mereka tidak dapat bertahan sehingga terpaksa lari menyelamatkan diri.
Ini termasuklah ketua-ketua mereka yang sebelum ini begitu berkobar-kobar mahu bangkit menentang Rasulullah.
Tetapi kini merekalah yang paling pengecut dan yang paling dahulu melarikan diri bagi menyelamatkan tengkuk sendiri.
Mereka digempur habis-habisan sehingga seluruh perkampungan itu bertukar menjadi kelam kabut dan ditawan dengan mudahnya oleh tentera Islam.
Lalu Abu Salamah memerintahkan sebahagian anggota tenteranya supaya terus menawan perkampungan Bani Asad. Sebahagian lagi diarahkan memburu musuh-musuh yang melarikan diri.
Maka dalam tempoh yang singkat sahaja, keseluruhan perkampungan Bani Asad dapat ditawan.
Kabilah itu dapat dikalahkan. Segala harta benda dan haiwan ternakan mereka dijadikan harta rampasan perang.
Hasil kejayaan itu, anggota tentera Islam kembali semula ke Madinah dengan membawa harta rampasan perang yang apabila dibahagi-bahagikan setiap seorang mendapat tujuh ekor unta dan beberapa ekor kambing.
Perang itu dikatakan berlangsung dalam tempoh 10 hari. Malangnya Abu Salamah yang berjaya dalam misinya itu meninggal dunia sejurus pulang dari memerangi Kabilah Bani Asad.
Ia ekoran kecederaan yang dialaminya semasa Perang Uhud.
Begitulah semangat luar biasa yang ditunjukkan oleh pahlawan seperti Abu Salamah yang tetap bertempur untuk melawan musuh-musuh Islam walaupun dirinya sendiri dalam keadaan yang masih luka dan cedera.
Tidak cukup dengan Bani Asad yang merancang menyerang dan menghapuskan umat Islam di Madinah, satu lagi kabilah Arab turut merancang melakukan serangan yang sama.
Baginda mendapat tahu kabilah tersebut, iaitu Kabilah Urnah (satu kabilah yang tinggal di sebuah lembah berdekatan dengan Arafah, Mekah).
Kabilah yang diketuai Khalid bin Sufyan Nabaih al Hudzali dikatakan sudah mengumpul pengikutnya dan menyusun strategi serta kekuatan bagi memerangi umat Islam di Madinah.
Mendengarkan semua ini, Rasulullah segera memerintahkan Abdullah bin Unais, seorang lagi pahlawan Islam yang gagah lagi pintar bertindak sebagai perisik untuk menemui sendiri ketua kabilah Urnah itu bagi memastikan kesahihan berita yang diterima itu.
"Berangkatlah kamu untuk menemui sendiri Khalid bin Sufyan dan siasatlah, benarkah dia ada mengarahkan supaya para pengikutnya untuk menyerang kedudukan kita di Madinah ini," ujar baginda.
Abdullah pun yang sudah tidak sabar-sabar lagi mahu menjayakan misi itu telah meminta baginda menerangkan bagaimana rupa paras dan sikap Khalid bin Sufyan itu.
"Sekiranya kamu bertemu dengan Khalid, seakan-akan kamu berjumpa dengan seekor syaitan. Antara tanda-tandanya, Khalid seorang yang berambut panjang dengan rupa paras yang pasti membuatkan kamu takut melihatnya.
"Namun kamu jangan bimbang, jika kamu pintar dan bijak, pastinya syaitan ini boleh ditundukkan. Andai benar dia merancang untuk menyerang umat Islam, kamu tiada pilihan kecuali Khalid mesti dibunuh," kata baginda.
Abdullah memahami sepenuhnya segala penjelasan dan arahan baginda itu lalu segera memohon untuk berangkat seorang diri bagi menjayakan satu misi penting yang boleh mencetuskan segala kemungkinan
Andai tersilap langkah, segala-galanya akan menjadi padah!

Monday, July 11, 2011

7 Tokoh hebat dalam Al-quran

TUJUH Tokoh Terukir Dalam al-Quran sarat dengan iktibar dan teladan, sumber panduan yang menjadi penyuluh menerangi lorong yang bakal dilalui agar tidak tersandung akar dan terpijak duri.
Merekalah yang diibaratkan Rasulullah s.a.w sebagai bintang di langit, meneladani kehidupan dan mendapat petunjuk. 
Ikutilah kisah atau peristiwa yang mereka lalui sehingga mendapat perhatian daripada Allah s.w.t.

Perhatian itu sekali gus mengundang wahyu diturunkan mengenainya. Ada juga teguran terhadap kesilapan atau kekhilafan yang mereka lakukan.

Ada juga sebagai jawapan atau penyelesaian masalah yang mereka adukan kepada Rasulullah. Mereka menjadi sebab dan musabab Allah memberi petunjuk bagi menyerlah keindahan dan kesyumulan Islam.

Mereka insan istimewa dan manusia terhebat. Mereka golongan yang memiliki kelebihan dan keutamaan sehingga kisah kehidupan mereka terukir dalam al-Quran. Mereka ialah:

- Umar ibn al-Khatab
- Uthman ibn Affan
- Khaulah binti Thalabah
- Al-Jalas ibn Suwaid
- Sa’ad Ibn Ra’bi
- Salim ibn Maqil
- Ummu Syuraik (Ghaziyah binti Jabir al-Dausiah) 

Pewaris Tugas Nabi Muhammad SAW

ULAMA perlu memiliki ketinggian ilmu dan bersedia menyumbang pemikiran bagi pembangunan ummah sejagat selain membimbing manusia ke jalan yang diredai Allah s.w.t.
Rasulullah s.a.w menyifatkan ulama seperti bintang di langit dengan memegang amanah bagi menjamin kesejahteraan umat Islam.
Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Perumpamaan ulama di muka bumi seperti bintang-bintang di langit yang memberi petunjuk kepada musafir dan pelayar di waktu malam, apabila terlindungnya bintang itu mereka akan terpinga-pinga kehilangan petunjuk.” (Hadis Riwayat Imam Ahmad)

Mereka perlu jujur dan ikhlas dalam melaksanakan setiap amanah yang dipertanggungjawabkan. Sebagai ulama mereka perlu memiliki sifat sabar, lemah lembut, berhikmah, bersikap ramah, menghormati pendapat orang lain dan saling menasihati serta memuliakan saudara lain.

Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Berbicaralah dengan manusia menurut akal dan fikirannya. Gembirakanlah mereka dan janganlah dijauhkan; mudahkan jangan disukarkan.

Inilah cara menyeru manusia kepada agama Allah. Bersoal jawab dengan masyarakat sebaik-baiknya iaitu sehingga memuaskan hati dan menghilangkan keraguan mereka.

Sebab itu ulama wajib mengetahui pelbagai cabang ilmu. Jika tidak pasti, masyarakat mudah menolak ajaran yang bertentangan dengan ilmu pengetahuan mereka.

Perkara paling penting yang perlu dilakukan golongan ulama ialah menggalas tanggungjawab melindungi umat Islam daripada sebarang usaha penyelewengan agama seperti murtad, khurafat, bid’ah, syirik dan tahyul.

Maka umat Islam perlu mengiktiraf ulama sebagai pemimpin yang berwibawa. Ibnu Abbas berkata: “Ulama adalah orang yang mengetahui bahawa sesungguhnya Allah Maha Berkuasa atas setiap sesuatu. Dan tambahnya lagi: Orang alim tentang Allah Maha Penyayang adalah orang yang tidak melakukan syirik dengan Allah sesuatu pun serta dia menghalalkan apa yang dihalalkan dan mengharamkan apa yang diharamkan. Dia turut memelihara wasiat-Nya di samping yakin bahawa dia tetap akan menemui-Nya dan Dia bakal menghitungkan amalannya.

Semakin tinggi ilmu yang dimiliki seorang ulama maka bertambah takut mereka kepada Allah. Mereka akan sentiasa menjunjung amanah bagi menyampaikan hak dan kebenaran.

Jelas karakter yang dimiliki golongan ilmuwan menjadi lambang kekuatan iman dan harapan umat Islam supaya kekal berpegang teguh kepada ajaran Islam yang suci.
Berbeza dengan watak golongan ulama dunia di mana mereka hanya bermotifkan untuk mendapat habuan dunia. Apabila bertambah ilmunya, semakin ingkar mereka kepada perintah Allah.

Sebagai persiapan menghadapi pelbagai cabaran mendatang, ulama perlu sentiasa mengikuti perkembangan supaya mereka dapat menangani masalah semasa itu dengan baik.

Allah berfirman yang bermaksud: “Dan hendaklah kamu menjalankan hukum (pemerintahan) di kalangan mereka berdasarkan kepada apa yang diturunkan oleh Allah”. (Surah al-Maidah ayat 48)

Ulama berperanan menanamkan kesedaran dan memimpin masyarakat menghayati serta melaksanakan cara hidup selaras dengan tuntutan agama.

Bersikap berkecuali tidak boleh sesekali diamalkan golongan ulama kerana mereka perlu memperbetul serta menjelaskan perkara sebenar andai kata berlaku permasalahan di kalangan umat Islam.

Mereka perlu berpendirian tegas menangani sebarang isu berdasarkan ilmu agama yang dimilikinya. Tohmahan terhadap golongan ulama pasti timbul jika perjuangan menyebar dan menegakkan ajaran agama dicemari kepentingan peribadi seperti harta benda, kedudukan, pangkat dan penghormatan.

Abu Nu’aim menyatakan bahawa Nabi mengatakan: “Dua golongan manusia yang apabila keduanya baik maka akan baiklah masyarakat. Tetapi, apabila keduanya rosak maka akan rosaklah masyarakat itu. Kedua golongan manusia itu adalah ulama dan pemerintah.”

Terdapat kisah keberanian seorang ulama yang tidak mengejar pangkat dan kedudukan atau kepentingan seseorang iaitu Imam Nawawi.

Beliau tetap mengatakan sesuatu perkara itu benar menurut hukum. Menurut riwayat, apabila baginda Sultan al-Malik al-Zahir mengadakan persiapan perang untuk memerangi orang Tatar (Monggol) digunakan fatwa ulama yang mengharuskan mengambil harta rakyat bagi memenuhi kepentingan perang melawan musuh.

Seorang ulama fiqh dari Syam menulis menerangkan fatwa itu tetapi baginda masih tidak berpuas hati jika Imam Nawawi tidak memberi fatwanya.

Baginda seterusnya menjemput Imam Nawawi dan meminta beliau memberi fatwanya mengenai pengambilan harta rakyat untuk peperangan.

Beliau tidak mahu memberi fatwanya dan memberi penjelasan mengapa beliau terpaksa menerangkan keengganannya. Beliau dapat tahu bahawa baginda memiliki 1,000 hamba.

Setiap seorang mempunyai beberapa ketul emas manakala 200 khadam wanita baginda memiliki barang perhiasan bernilai. Jika baginda membelanjakan semua itu demi keperluan perang sehingga mereka tidak lagi mempunyai barang itu, maka beliau bersedia memberikan fatwa untuk membenarkan baginda mengambil harta rakyat.

Imam Nawawi berfatwa tidak membenarkan baginda mengambil harta rakyat selagi kekayaannya tidak digunakan. Sultan al-Malik al-Zahir murka kepadanya kerana fatwanya amat menggemparkan sehingga baginda memerintahkan beliau keluar dari Damsyik.

Imam Nawawi menerima perintah pengusirannya itu. Namun ulama Syam berusaha menjemputnya pulang tetapi beliau enggan selagi baginda masih berkuasa.

Ulama perlu berani menyatakan pandangan mereka terhadap perkara yang dirasakan bertentangan, namun setiap teguran itu perlulah dilakukan dengan penuh hikmah.

Penceramah, Mohd Rani Awang Besar berkata, ulama adalah golongan yang Allah kurniakan kepada mereka ilmu agama yang tinggi hasil daripada bertahun-tahun lamanya mereka menuntut ilmu.

“Allah berfirman dalam Surah Faathir ayat 28 yang bermaksud: “Hanya yang takut kepada Allah ialah ulama-ulama di antara hamba-hamba-Nya. Sesungguhnya Allah Maha Perkasa lagi Maha Pengampun.”

“Maka jelaslah apabila semakin tinggi ilmu mereka tentang kejadian alam yang dijadikan Allah maka bertambah takut mereka kepada Allah,” katanya.

Beliau berkata, terdapat dua bahagian ulama iaitu ulama akhirat dan ulama dunia yang menjalankan peranan berbeza-beza.

“Sebagai pewaris tugas Nabi Muhammad, mereka perlu sentiasa menegakkan kebenaran dan tidak takut dengan manusia.

“Terdapat ulama yang menggunakan ilmu mereka bagi menyebar luas dakwah ke seluruh pelosok dunia bagi mendapatkan keredaan Allah semata-mata manakala ulama dunia menggunakan peluang untuk mengejar pangkat serta kedudukan,” katanya.

Mohd Rani berkata, tugas penting seorang ulama akhirat ialah berusaha semampu mungkin berdakwah kepada semua golongan dalam melahirkan umat Islam berilmu dan bertakwa.

“Ulama perlu tegas dan berani menyatakan pendirian mereka dalam satu isu yang bersalahan dengan syariat. Yang betul katakan dengan jelas ia benar manakala yang batil jangan sesekali membisukan diri.

“Golongan ulama tidak pernah takut terhadap apa saja bentuk halangan yang menimpa diri mereka. Jauh sekali jika mereka tahu kesalahan itu tetapi mengambil jalan mudah hanya mendiamkan diri tanpa melakukan sebarang tindakan,” katanya.

Beliau berkata, terdapat sebuah hadis daripada Ali bin Abi Talib, Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Sudah hampir sampai suatu masa di mana tidak tinggal lagi daripada Islam itu kecuali hanya namanya, dan tidak tinggal daripada Quran itu kecuali hanya tulisannya. Masjid-masjid mereka tersergam indah, tetapi ia kosong daripada hidayah. Ulama mereka adalah sejahat-jahat makhluk yang ada di bawah kolong (naungan) langit. Dari mereka berpunca fitnah, dan kepada mereka fitnah itu akan kembali.” (Hadis riwayat Al-Baihaqi).

“Daripada hadis ini, kita dapat saksikan ulama yang dimaksudkan ialah ulama su’ (jahat). Ulama seperti ini hanya memandang hal keduniaan,” katanya.

Saturday, July 9, 2011

Allah gembirakan tentera Uhud

Menang atau kalah, adalah adat dalam perjuangan atau peperangan. Tidak ada apa yang perlu dikesal atau ditangiskan kerana peribahasa Melayu ada menyebut kalau menang jadi arang, kalah jadi abu.
Lantaran itu apabila bercerita mengenai Perang Uhud maka kita tidak boleh lari daripada membicarakan hikmah besar di sebalik kekalahan umat Islam dalam perang tersebut.
Sebelum itu, kita mungkin kesal, marah apabila kemenangan yang hampir-hampir dapat digenggam akhirnya terlepas.
Ia akibat sikap gelojoh terhadap harta rampasan perang telah menyebabkan tercatat satu luka besar pada sejarah - kekalahan umat Islam.
Adalah sangat memalukan kerana adanya sifat tamak di kalangan tentera tersebut dan tidak patuh pada arahan telah membolehkan musuh kembali menyusun kekuatan dan menyerang tentera Islam dari belakang.
Namun seperti yang disebutkan, semua yang berlaku itu ada hikmah-hikmah besar yang tersembunyi.
Apatah lagi jika kalah, tidak bermakna kita akan kalah buat selama-lamanya.
Begitupun kekecewaan yang menyelubungi di kalangan umat Islam akibat kalah dalam perang tersebut dapat 'dipujuk' dengan turunnya ayat-ayat al-Quran yang tidak sahaja indah pada bahasa tetapi memberi keinsafan dan kesedaran apabila kita menghayatinya selain kita kembali kuat untuk tidak lagi berkeluh kesah akibat kekalahan yang lalu.
Ini apabila kita memahami isi kandungan ayat Allah seperti berikut:
Dan janganlah kamu merasa lemah (dalam perjuangan mempertahan dan menegakkan Islam), dan janganlah kamu berdukacita (terhadap apa yang akan menimpa kamu), padahal kamulah orang-orang yang tertinggi (mengatasi musuh dengan mencapai kemenangan) jika kamu orang-orang yang (sungguh-sungguh) beriman. (ali-'Imran: 139)
l Jika kamu (dalam peperangan Uhud) mendapat luka (tercedera), maka sesungguhnya kaum (musyrik yang mencerobohi kamu) itu telah (tercedera juga dan) mendapat luka yang sama (dalam peperangan Badar). Dan demikian itulah keadaan hari-hari (dunia ini dengan peristiwa-peristiwa kemenangan atau kekalahan), kami gilirkan dia antara sesama manusia, (supaya menjadi pengajaran) dan supaya nyata apa yang diketahui Allah tentang orang-orang yang tetap beriman (dan yang sebaliknya), dan juga supaya Allah menjadikan sebahagian di antara kamu orang-orang yang mati syahid. Dan (ingatlah), Allah tidak suka kepada orang-orang yang zalim. (ali-'Imran: 140)
Dan tidaklah ada yang mereka ucapkan (semasa berjuang), selain daripada berdoa dengan berkata: "Wahai Tuhan kami! Ampunkanlah dosa-dosa kami dan perbuatan kami yang melampau dalam urusan kami, dan teguhkanlah tapak pendirian kami (dalam perjuangan); dan tolonglah kami mencapai kemenangan terhadap kaum yang kafir. (ali-'Imran: 147)
Demikianlah bagaimana Allah mengembalikan semula semangat para pejuang Islam. Mereka tidak seharusnya patah semangat kerana walaupun kalah di dunia namun akan menggapai kemenangan di akhirat.
Lalu, walaupun umat Islam di Madinah ketika itu dicerca dan dihina oleh para musuh ekoran kekalahan mereka di Perang Uhud, agak luar biasa apabila semua itu tidak menjadi kudis kepada mereka.
Terutama di pihak Nabi Muhammad yang tidak sekali-kali tunduk kepada mana-mana pihak.
Sebaliknya, baginda tetap menjalankan kerja-kerja dakwah di samping meningkatkan lagi soal keselamatan dan pertahanan daripada diambil kesempatan oleh pihak musuh.

Thursday, July 7, 2011

Tariq Bin Ziyad Penakluk Andalusia

Tariq bin Ziyad merupakan ketua tentera Islam kerajaan Umaiyah yang berjaya menakluki Semenanjung Iberia (Andalusia, Sepanyol). Pada waktu itu, kerajaan Umaiyah berada di bawah pemerintahan Khalifah Walid bin Abdul Malik.
Nama pejuang Islam ini begitu harum sehingga diabadikan pada sebuah semenanjung perbukitan berbatu karang setinggi 425 meter di pantai tenggara Sepanyol, iaitu Gibraltar atauJabal Tariq.
Istilah ini bererti Gunung Tariq, disebut juga Gibraltar. Ini merupakan nama sebuah semenanjung kecil yang terletak di pantai tenggara Sepanyol.
Daerah ini disebut demikian sebagai penghargaan atas perjuangan dan keberanian Tariq bin Ziyad ketika menakluki Sepanyol pada tahun 711 M.
Mengenai asal-usul dan sejarah hidupnya, amat sedikit buku sejarah yang menceritakannya. Tariq bin Ziyad berasal daripada bangsa Barbar. Mengenai sukunya pula, para sejarawan masih berbeza pendapat; sama ada dari suku Nafza atau suku Zanata.
Tariq dimerdekakan oleh Musa bin Nusair, Gabenor Afrika Utara dan di bawah penguasaan Musa inilah beliau memeluk agama Islam bersama orang-orang Barbar lainnya yang tunduk di bawah kekuasaan Musa setelah menakluki daerah Tanja.
Dikisahkan bahawa setelah memeluk Islam, mereka (orang-orang Barbar) mengikuti ajaran agama Islam dengan baik.
Oleh hal yang demikian itu, sebelum Musa pulang ke Afrika, beliau meninggalkan beberapa orang Arab untuk mengajar orang-orang Barbar itu tentang al-Quran dan ajaran-ajaran Islam yang lain.

Mendapat Firasat

Sesudah itu, Musa melantik Tariq (yang merupakan perajurit Musa yang paling paling handal) menjadi penguasa daerah Tanja, di utara Maghribi dengan 19,000 orang tentera daripada bangsa Barbar, lengkap dengan persenjataannya.
Pada bulan Rejab tahun 97 H (Julai 711 M), Tariq bin Ziyad mendapat perintah daripada Musa bin Nusair untuk menyerang Semenanjung Andalusia.
Dengan 7000 orang perajurit yang sebahagian besar daripada bangsa Barbar, Tariq menyeberangi Selat Andalusia dengan perahu-perahu (bahtera) pemberian Julian, Gabenor Ceuta di Afrika Utara, yang bersekutu dengan kaum Muslimin untuk menentang Raja Roderick, penguasa kerajaan Visigoth di Andalusia.
Setelah mendarat di pantai berbatu karang yang kemudian dinamakan Gibraltar, Tariq beserta pasukannya berhadapan dengan 25,000 orang perajurit Visigoth.
Pada mulanya kedatangan pasukan Tariq ini menimbulkan kehairanan bagi Tudmir, penguasa setempat yang berada di bawah kekuasaan Raja Roderick kerana mereka datang dari arah yang tidak diduga, iaitu dari arah laut.
Walaupun jumlah anggota pasukan kaum Muslimin jauh lebih sedikit dibandingkan pasukan musuh, namun semua itu tidak menimbulkan kegentaran di kalangan para perajurit Muslimin, lebih-lebih lagi dituangkan dengan kata-kata penuh semangat daripada panglima mereka.
Agar pasukannya tidak gentar menghadapi musuh, Tariq menggunakan taktik di mana sesampai sahaja angkatan perang (laut) setelah menyeberangi Selat Andalusia, beliau berkata kepada para perajuritnya bahawa perahu (bahtera) yang diberikan oleh Julian itu telah sengaja dibakar.
Tariq pun berucap dengan penuh semangat: "Wahai manusia, ke mana kau akan lari? Laut di belakangmu dan musuh di depanmu. Maka, tidak ada jalan lain untuk selamat kecuali berjuang berhabis-habisan".
Taktik yang digunakan oleh Tariq itu ternyata amat berkesan. Akhirnya, pertempuran itu dimenangi oleh Tariq dan Raja Roderick sendiri tewas dalam pertempuran tersebut.
Kemudian Tariq meminta tambahan pasukan kepada Musa. Lalu Musa menghantar 5,000 orang perajurit yang sebahagian besar berbangsa Barbar. Satu demi satu kota di Andalusia berjaya ditawan oleh para perajurit Tariq; kota-kota tersebut termasuklah Toledo, Elvira, Granada, Cordoba, Malaga, Arichidona.
Apabila tiba musim panas pada tahun 711 M, Tariq berjaya menguasai separuh daripada wilayah Andalusia. Dalam kitab Tarikh al-Andalus, disebutkan bahawa sebelum menempa kejayaan itu, Tariq telah mendapat firasat bahawa beliau pernah bermimpi melihat Rasulullah SAW bersama Khulafa al-Rasyidin berjalan di atas air hingga bertemu dengannya, lalu Rasulullah s.a.w memberi khabar gembira bahawa beliau akan berjaya menakluk Andalusia.
Kemudian Rasulullah SAW menyuruhnya agar sentiasa mendampingi kaum Muslimin dan sering pula menepati janji.
Mendengar kejayaan yang dicapai oleh Tariq, Musa bin Nusair berasa iri hati. Pada tahun 712 M, beliau menyusul Tariq bersama 18,000 perajuritnya melalui jalan lain yang ditempuh oleh Tariq. Musa berjaya menguasai Sidonia, Kormona, Merida, Sevilla.
Beliau juga menewaskan kerajaan Visigith, Theodomir di Orihuela. Beliau bertemu Tariq dan pasukannya di Telodo. Mereka berjaya menakluki Zaragoza, Aragon, Leon, Aturia, dan Galicia.
Dengan demikian, seluruh daratan Semenanjung Andalusia berjaya dikuasai oleh perajurit Muslim. Setelah itu, mereka dipanggil pulang ke Damsyik oleh Khalifah al-Walid.
Setelah berjuang bermati-matian menakluki Sepanyol, bukan penghargaan yang diterima oleh Tariq melainkan pemecatan yang dilakukan oleh Musa bin Nusair.
Tariq dipecat atas alasan tidak patuh arahan Musa walhal sebenarnya Musa iri hati terhadap kejayaan Tariq. Namun, kejadian ini tidak mengganggu usaha penaklukan ke atas sepanyol.
Jauh sebelum penaklukan ke atas Sepanyol, antara Musa dengan Tariq sememangnya sudah terdapat bibit-bibit persaingan. Namun, Tariq tetap menghormati ketuanya.
Peristiwa pemecatan Tariq diketahui oleh Khalifah al-Walid. Ketika memanggil kedua-dua, jelas Khalifah memberi lebih Tariq.
Setelah Khalifah al-Walid meninggal dunia, nama Tariq bin Ziyad seakan-akan tenggelam, namun Gibraltar yang terus 'timbul' di dalam lipatan sejarah telah mengharumkan nama seorang panglima Islam yang hidupnya berjuang di jalan Allah dengan menegakkan syiar Islam menyeberangi sempadan benua, hingga Islam dapat diterima di Eropah.
Tariq bin Ziyad kembali ke rahmatullah pada tahun 270 M.

Friday, July 1, 2011

Menjadi isteri diredhai Allah

TIADA lebih membahagiakan bagi seorang suami melainkan memanjatkan rasa kesyukuran dan bertuahnya mereka apabila dikurniakan seorang isteri yang bijak, solehah, bersederhana serta mempunyai watak menarik.
Ia dikira ‘pakej lengkap’ bagi seorang wanita selepas sifat kesempurnaan seorang isteri itu subur dalam diri mereka. Dalam melayari kehidupan rumah tangga pasangan suami isteri perlu memiliki kekuatan mental dan fizikal.
Mereka perlu sentiasa mempertingkatkan kemahiran asas rumah tangga dan meminta pandangan dan nasihat daripada golongan berpengalaman seperti ibu bapa mereka.

Allah s.w.t berfirman yang bermaksud: “Wanita yang solehah ialah yang taat kepada Allah lagi memelihara diri (tidak berlaku curang serta memelihara rahsia dan harta suaminya ) di belakang suaminya, oleh kerana Allah telah memelihara mereka...” (Surah An-Nisa’ ayat 34)


Ketaatan isteri kepada suaminya memudahkan mereka mendapat syurga Allah s.w.t di akhirat kelak kerana ketaatan terhadap suami menjadi ukuran kepada keredaan-Nya.

Diceritakan oleh Nabi Muhammad s.a.w dalam Israk Baginda di mana kebanyakan penghuni neraka adalah kaum wanita iaitu termasuk wanita derhaka kepada perintah Allah s.w.t dan suaminya.

Isteri yang taat dapat dinilai melalui bicaranya yang memperlihatkan kelembutan dan kesopanan, mereka juga tidak sesekali memerintah suaminya, berdiam diri ketika suami sedang berkata-kata, apabila suami masuk atau keluar rumah mereka menyambut suami dengan penuh mesra, sentiasa menghormati keluarga suami, bersyukur dengan apa yang disediakan suami serta tidak keluar rumah kecuali dengan izin suami.

Bagaimanapun, ketaatan isteri terhadap suami tidak berlaku dalam semua perkara. Sekiranya perintah suami itu menjurus kepada dosa dan kemaksiatan isteri dibenarkan membantah.

Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: “Jika diizinkan seorang manusia sujud kepada manusia tentu aku akan suruh wanita-wanita sujud kepada suaminya lantaran begitu besar Allah jadikan hak lelaki ke atas wanita.”

Berhias untuk suami juga penting dalam mengekalkan keharmonian hidup suami isteri. Namun isteri hanya boleh memperlihatkan perhiasan hanya buat suami mereka saja.

Ia bertujuan untuk menjadikan suami mereka terhibur. Bayangkan jika suami pulang dari tempat kerja dalam keadaan letih namun apabila melihat muka isteri berseri-seri pasti akan menimbulkan suasana tenang kepada suami.

Keletihan mencari rezeki akan menjadi hilang malah membangkitkan lagi perasaan kasih sayang terhadap isterinya. Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: “Dari Jabir ra. Dia berkata: ‘Kami pernah pergi bersama-sama Rasulullah di dalam satu peperangan. Ketika kami sampai ke Madinah, kami ingin masuk ke rumah masing-masing. Maka Rasulullah s.a.w bersabda: ‘Bersabarlah, iaitu masuklah pada waktu malam iaitu selepas Isyak, supaya isteri dapat bersikat rambutnya yang kusut dan supaya ia dapat berhias kerana lama ditinggalkan suaminya.’”

Selain itu, hubungan intim juga antara penyumbang kepada kebahagiaan sebuah rumah tangga. Sebab itu, isteri perlu memberi layanan yang baik kepada suami dan tidak boleh menolak kemahuannya.

Terdapat banyak kes membabitkan pasangan yang tidak berpuas hati dengan layanan yang diberikan sehingga sampai ‘berperang besar.’

Perkara sedemikian perlu dielakkan kerana ia mencetuskan suasana tegang antara pasangan.

Isteri hanya boleh menolak permintaan suami dalam keadaan tertentu seperti dalam keadaan sakit atau dalam keadaan dilarang syarak untuk melakukan persetubuhan seperti dalam keadaan haid.

Kemuliaan dan ketaatan isteri di mata suami akan lebih terserlah apabila mereka mampu menjadi teman berunding apabila suami menghadapi masalah.

Isteri perlu tahu ketaatan mereka kepada suami adalah perintah daripada Allah s.w.t. Isteri yang tidak taat pada suaminya bererti dia tidak menjaga hak suami dan perbuatannya itu boleh membawa kepada nusyuz.

Ulama asy-Syafi’eyah mentakrif�kan nusyuz seorang isteri ialah keluar dari melakukan ketaatan yang wajib terhadap suaminya. Antara perkara yang menunjukkan isteri nusyuz terhadap suaminya ialah keluar rumah tanpa keizinan suami.

Fuqaha bersepakat mengatakan haram hukumnya seorang isteri yang nusyuz terhadap suaminya. Mereka dilaknat selagi mana tidak melakukan taubat.

Diriwayatkan daripada Abu Hurairah, beliau berkata Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Apabila suami memanggil isterinya ke tempat tidurnya lalu isteri menolak untuk pergi (kepada suaminya), malaikat melaknatnya (isteri) sehingga (masuk) waktu pagi.” (Hadis riwayat al-Bukhari)

Islam meletakkan beberapa tindakan dalam menangani masalah isteri nusyuz antaranya ketika nampak tanda nusyuz pada isteri sama ada dengan perbuatan seperti isteri bermasam muka atau berpaling atau isteri menjawab percakapan suaminya dengan suara kasar maka sunat ke atas suami memberi nasihat.

Allah s.w.t berfirman yang bermaksud: “Dan perempuan-perempuan yang kamu bimbang melakukan derhaka (nusyuz) hendaklah kamu menasihati mereka.” (Surah an-Nisa: 34)

Daripada Abu Hurairah r.a beliau berkata bahawa Nabi Muhammad s.a.w bersabda yang bermaksud: “Nasihatilah kaum wanita secara baik kerana wanita itu diciptakan daripada tulang rusuk. Sesungguhnya tulang rusuk yang paling bengkok adalah yang berada di bahagian yang paling atas. Jika engkau meluruskannya bererti engkau mematahkannya; dan jika engkau membiarkannya maka dia akan tetap bengkok. Oleh itu, nasihatilah kaum wanita secara baik.” (Hadis riwayat Al-Bukhari no. 3331 dan Muslim no. 1468)

Justeru buat isteri, rebutlah peluang mudah jalan menuju ke syurga dengan melaksanakan kewajipan terhadap Allah serta mentaati suami.

Perunding motivasi dan penceramah, Human Touch Consultant, Datuk Mohd Zawawi Yusoh, berkata isu yang dikaitkan dengan Kelab Isteri Taat mempunyai misi tersurat dan tersirat.

“Matlamat mereka adalah untuk mengajak golongan isteri supaya berpoligami.

“Ia sebenarnya tidak perlu diperbesar-besarkan kerana isu yang lebih penting ialah memberi fokus bagaimana untuk menjana pendapatan golongan janda, keruntuhan rumah tangga serta memperbaiki kelemahan diri sendiri,” katanya.

Beliau berkata poligami sebenarnya adalah untuk mereka yang berkemampuan dan boleh memberi keadilan kepada setiap wanita yang dinikahinya.

“Hanya lelaki yang benar-benar boleh berlaku adil dan berkemampuan untuk menyara kehidupan anak dan isteri boleh berkahwin lebih daripada satu berdasarkan hukum syarak.

“Allah berfirman dalam surah An-Nisaa’ ayat 3 yang bermaksud: “Maka kahwinilah perempuan-perempuan yang baik bagimu, dua, tiga atau empat orang. Tetapi jika kamu takut bahawa tidak akan berlaku adil, maka kahwinilah seorang saja atau hamba sahaya yang demikian itu lebih dekat kepada tidak teraniaya.”

“Apa yang kita tidak mahu ialah jika ada yang mengambil kesempatan dengan kekurangan yang dimiliki namun mempunyai impian untuk mempraktikkan poligami. Dalam Islam kita ‘takut’ isteri kerana bimbang tidak dapat berlaku adil sesama mereka,” katanya.

Mohd Zawawi berkata dalam perkahwinan, malah poligami sekalipun matlamatnya bukan nafsu seks semata-mata kerana semua itu bersifat sementara.

“Nafsu manusia ini sebenarnya tidak pernah ‘kenyang’. Semua orang mesti ingat bahawa sebab utama poligami ialah untuk keadilan, ketaatan dan akidah.

“Ramai yang menyatakan tujuan mereka berpoligami adalah untuk mengamalkan sunnah Rasulullah s.a.w. Tetapi Rasulullah s.a.w sebenarnya berpoligami atas sebab syarak. Pokok pangkalnya, hanya akidah yang mampu menyelesaikan nafsu tidak terbatas,” katanya.

Beliau berkata suami boleh guna kaedah poligami atas sebab terdapat masalah kesihatan atau keturunan yang membabitkan pihak isteri.

“Wajib berpoligami jika bimbang suami akan terjerumus ke dalam kancah maksiat. Maka poligami menjadi penyelesai masalah terutama berkaitan kesihatan dan keturunan yang menjadikan kehidupan itu lebih harmonis,” katanya.

Isyarat kewafatan Nabi Muhammad

SURAH ini termasuk surah Madaniyah dengan ijmak ulama. Mengikut hadis Ibn Abbas bahawa ia termasuk surah yang terakhir diturunkan secara keseluruhannya. Surah ini mengandungi tiga ayat yang diturunkan selepas surah al-Taubah.
Hubungan surah ini dengan surah dengan al-Kafirun
Setelah Allah SWT menyebutkan di dalam surah terdahulu perbezaan agama rasul yang didakwahkannya dengan agama orang kafir, maka dalam surah ini dinyatakan bahawa agama mereka itu akan terlepas dan lenyap serta agama yang diajarkannya akan menang.
Seterusnya menjadi agama yang dipeluk oleh majoriti penduduk dunia.
Ada dua pendapat berkenaan dengan kemenangan:
i. Kemenangan Rasul terhadap orang Quraisy. Inilah pendapat al-Tabari.
ii. Kemenangan Rasul terhadap musuh-musuhnya.
Ibn Kathir dalam tafsirnya berkata: "Maksud kemenangan dalam surah ini ialah menakluk Mekah dan inilah pendapat yang rajih."
Kabilah-kabilah Arab memang menantikan kemenangan Rasulullah SAW untuk memudahkan mereka memeluk Islam.
Mereka berkata: "Jika dia (Muhammad) dapat menundukkan kaumnya, maka itulah tanda seorang Nabi. Oleh yang demikian, apabila Allah SWT memberi kemenangan, maka mereka semua memeluk agama Islam sepuak demi sepuak."
Tidak sampai dua tahun, seluruh Semenanjung Arab beriman kepada Allah SWT. Tiada kabilah Arab melainkan semuanya mengisytiharkan keislaman mereka.
Menurut riwayat al-Imam al-Bukhari dalam Sahihnya dari 'Amr Ibn Salamah katanya: "Sebaik sahaja tertakluknya Mekah, setiap kaum segera menemui Rasulullah SAW untuk menyatakan keislaman mereka."
Riwayat ini sesuai dengan keterangan surah yang memberi isyarat satu peristiwa akan berlaku selepas turunnya ayat ini dan mengarahkan Nabi SAW bertasbih, bertahmid, dan beristighfar apabila mendapat khabar gembira yang sahih.
Firman Allah SWT: Apabila telah datang pertolongan Allah dan kemenangan. Dan kamu lihat manusia masuk agama Allah dengan berbondong-bondong.
Sayid Qutub berkata: "Iaitu pertolongan dan kemenangan itu adalah datang dari Allah pada masa yang ditentukannya dan dalam bentuk yang dikehendaki-Nya, sedangkan Nabi dan para sahabatnya tidak mempunyai apa-apa peranan dalam kemenangan itu. Ia merupakan urusan Allah semata-mata yang dilaksanakannya dengan mereka atau tanpa mereka."
Cukuplah Allah melaksanakan kemenangan urusan agama-Nya melalui mereka dan melantik mereka selaku pengawal dan pemegang amanah agama-Nya. Inilah keseluruhan peranan mereka dalam mencapai kemenangan dan dalam sambutan orang ramai menerima agama Allah.
Oleh kerana itu, dalam menghadapi penghormatan Allah yang merealisasikan kemenangan itu, mereka berkewajipan bertasbih, bertahmid dan beristighfar.
Satu penegasan yang dikemukakan oleh Jabir bin Abdillah katanya: "Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: Sesungguhnya manusia masuk kepada agama Allah secara ramai-ramai dan akan keluar secara ramai-ramai juga."

Memuji Allah

Firman Allah SWT: Maka bertasbihlah dengan memuji Tuhanmu dan mohonlah ampun kepada-Nya. Sesungguhnya dia adalah Maha Penerima taubat.
Perkataan tasbih pada ayat ini mempunyai dua pendapat:
i. Solat, seperti pendapat Ibn Abbas.
ii. Tasbih yang makruf, sebagaimana pendapat ramai di kalangan ahli tafsir.
Al-Maraghi berkata: "Ketika hal itu semuanya telah sempurna, maka suci dan kuduskanlah Dia daripada mengabaikan kebenaran, dengan membiarkan kebatilan menguasainya, menyalahi janji-Nya yang telah dijanjikan kepadamu."
Maksudnya, menjadikan ajaranmu mulia, menjadikan orang kafir kalah dan menyempurnakan nikmat-Nya atasmu sekalipun orang kafir membenci.
Hendaklah menyucikan Allah SWT itu dengan memuji-Nya kerana pelbagai nikmat yang telah diberikan, kerana kebaikan yang telah dianugerahkan. Hendaklah memuji-Nya kerana Allah SWT berhak dipuji kerana Dialah Zat Yang Maha Kuasa lagi tidak dapat dikalahkan oleh sesiapapun. Maha Bijaksana yang jika sekiranya menangguhkan hukuman orang kafir, tetapi tidak mensesiakan pahala orang yang beramal soleh.
Mohonlah keampunan untuk dirimu dan sahabat-sahabat yang mengikutmu, yang berada dalam kegelisahan, bingung, sedih serta putus asa kerana beranggapan bahawa pertolongan Allah SWT itu terlambat.
Bertaubat daripada kebingungan dilakukan dengan menyempurnakan keyakinan atas kebenaran janji Allah SWT, mengalahkan rasa bimbang yang timbul akibat pelbagai bencana sekalipun hal ini amat berat bagi manusia.
Namun, Allah SWT Maha Mengetahui bahawa jiwa Rasul-Nya telah mencapai kesempurnaan itu sehingga Dia memerintahkannya berbuat begitu. Demikian pula halnya dengan orang yang berjiwa sempurna antara para sahabat Baginda dan para pengikutnya Allah SWT Maha Menerima taubat mereka.
Sesungguhnya Allah SWT itu Maha Menerima taubat hamba-Nya kerana Dia mendidik jiwa manusia dengan pelbagai cubaan. Jika jiwa itu lemah, maka digagahkan juga untuk mencari kekuatan, dikuatkan kemahuannya dengan janji yang baik. Hal seperti ini berterusan sehingga jiwa manusia mencapai darjat kesempurnaan.
Apabila kemenangan telah tercapai dan telah terbukti pertolongan, manusia pula bersedia menerima kebenaran agama, maka rasa takut akan hilang. Oleh itu, engkau wajib bertasbih dan bersyukur kepada-Nya, menghilangkan kebimbangan yang berlaku pada saat kesulitan dan penuh dengan penderitaan.
Akhirnya, penderitaan itu tidak lagi mengganggu jiwa para hamba Allah SWT yang ikhlas, ketika mereka telah bertambah banyak bilangannya, keikhlasan mendasari kehidupan mereka dan hati mereka disatukan.
Sesudah diturunkan ayat ini, Baginda hidup selama 21 hari. Semoga Allah SWT memberikan kerahmatan dan keselamatan kepada Nabi Muhammad SAW, keluarga dan sahabatnya yang berhijrah, berjuang dan bersatu pada jalan Allah SWT.
Surah ini seperti pendapat ahli tafsir sebagai tanda ucapan selamat tinggal Rasulullah SAW kepada umatnya. Ia juga pemberitahuan bahawa ajalnya sudah hampir tiba.
Justeru, perintah untuk melakukan tasbih dan istighfar sebagai penutup usia semata-mata menambahkan lagi amal soleh. Kerana itulah Ibn Abbas berkata, apabila datang pertolongan Allah dan pembukaannya merupakan seruan daripada Allah dan selamat tinggal daripada dunia.
Semoga kita menjadi pengikut setia Rasulullah SAW dan melayakkannya berada di syurga.

Total Pageviews